IDRIS (dua dari kiri) bersama Nor Azman  (kanan), Noor Effandi (dua dari kanan) dan Norhizam Hassan (kiri) mengumumkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri semalam. FOTO Syafeeq Ahmad
IDRIS (dua dari kiri) bersama Nor Azman (kanan), Noor Effandi (dua dari kanan) dan Norhizam Hassan (kiri) mengumumkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri semalam. FOTO Syafeeq Ahmad
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu diadakan di negeri ini susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari blok kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri yang jatuh semalam, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, PRN dibimbangi akan menyebabkan pandemik Covid-19 meningkat semula selepas menunjukkan aliran menurun sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah saja lagi, sekali gus menyebabkan pembaziran wang Barisan Nasional (BN) dan PH, katanya.

"Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi.

"Selain itu, PRU-15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah saja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit Covid-19 naik mendadak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sama ada ingin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau memilih Ketua Menteri yang baharu dalam kalangan pemimpin PH.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi menolak cadangan Umno yang mahukan PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri.

Menurutnya, jika pemimpin PH dipilih menjadi Ketua Menteri, beliau yakin Melaka akan tetap dimajukan, bukannya diundurkan 20 tahun.

"Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melaka mundur, sudah tentulah kita majukan negeri kita ini," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai parti yang akan disertai beliau dan tiga lagi Adun terbabit.

Semalam, selain Idris, yang turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah Adun Pantai Kundor dari BN, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Berikutan itu, Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan akan mencadangkan kepada Mohd Ali supaya membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Ab Rauf berkata, Umno Melaka sedia menghadapi PRN dan BN komited mempertahankan kerajaan negeri.

Turut mencadangkan agar PRN diadakan ialah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum penarikan sokongan keempat-empat Adun terbabit, Umno memiliki 14 kerusi manakala Bersatu (dua) dan Bebas (seorang). PH mempunyai 11 kerusi.

Bagaimanapun, dengan penarikan sokongan empat Adun terbabit, Umno sekarang hanya mempunyai 12 kerusi manakala Bersatu (satu).

Jika keempat-empat Adun terbabit sah menyertai PH, maka PH mempunyai 15 kerusi, iaitu empat melebihi Umno dan Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 10:59 AM