Amir Mamat


Masjid Tanah: Umno Melaka bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) jika keputusan itu dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, walau apa berlaku sekali pun, barisan kepemimpinan parti bersama-sama Barisan Nasional (BN) negeri akan tetap mempertahankan kerajaan serta negeri tercinta itu.

"Sebenarnya saya diasuh dalam suasana politik sejak menjadi Setiausaha Kerja Umno sebelum ini dan sentiasa bersedia 24 jam bagi menghadapi 1,001 kemungkinan.

"Kalau Tuan Yang Terutama (TYT) Tun (Mohd Ali) mengisytiharkan pembubaran Dun (Dewan Undangan Negeri), Umno Melaka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pihak kerajaan negeri akan mengadap Mohd Ali dalam tempoh terdekat bagi mencadangkan pembubaran Dun mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka yang menyebut Tuan Yang Terutama boleh membubarkan Dun.

Cadangan pembubaran Dun dikemukakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selepas empat Adun Melaka menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkuat kuasa hari ini.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

AB Rauf (duduk dua dari kiri) pada sidang media bersama Sulaiman (dua dari kanan) di Masjid Tanah, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD
AB Rauf (duduk dua dari kiri) pada sidang media bersama Sulaiman (dua dari kanan) di Masjid Tanah, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Sementara itu, Ab Rauf berkata, keahlian dua Adun daripada Umno akan gugur secara automatik selepas mereka secara terbuka bersama parti pembangkang menumbangkan kerajaan sedia ada.

"Apabila mereka menyatakan pada sidang media secara terbuka bersama dengan parti pembangkang yang tidak bersama membentuk kerajaan, ia secara automatik akan tergugur hak sebagai ahli Umno," katanya.

Ab Rauf turut menyifatkan empat ADUN yang beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH), seperti serpihan duri yang keluar daripada daging.

Katanya, ia terbukti apabila kepercayaan yang diberikan kepada mereka dalam menubuhkan kerajaan negeri baharu pimpinan Sulaiman pada Mac tahun lalu dibalas dengan sesuatu yang sangat mengejutkan.

"Anggapan saya sepanjang memberikan kepercayaan kepada Sulaiman untuk menguruskan kerajaan negeri tahun lalu, saya tidak memilih sama ada mereka duri atau daging.

"Kalau mereka nak jadi duri, terserah kepada mereka, tetapi hari ini terbukti mereka benar-benar sudah jadi duri kepada daging yang dihidangkan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 7:32 PM