Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung pantai di Kota Tinggi, kelmarin. FOTO IHSAN POLIS
Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung pantai di Kota Tinggi, kelmarin. FOTO IHSAN POLIS
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Pengunjung beberapa kawasan pantai di negeri ini menerima kejutan apabila dikunjungi anggota polis yang menjalankan operasi pemantauan, kelmarin.

Operasi diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin bersama 65 anggota polis dengan dibahagikan kepada Zon Penawar dan Zon Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pemantauan memberi tumpuan kepada pemeriksaan ke atas pengunjung sekali gus memupuk kesedaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami mendapati terdapat segelintir individu yang berkelah masih belum mendapatkan vaksin lengkap dengan memberi alasan tidak mengetahui keperluan vaksin lengkap untuk beriadah.

"Berikutan itu, lapan individu warga tempatan masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Pindaan) 2021.

"Manakala empat individu warga asing disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan cuai merebakkan penyakit berjangkit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi itu turut dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

Katanya, polis menasihati orang ramai yang beriadah di lokasi peranginan supaya mematuhi SOP bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang sekali gus mencegah penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 5:00 PM