PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali. FOTO Bernama
PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan menyerahkan 21 dokumen kepada pasukan pembelaan bagi kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias ketika sebutan kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi.

"Penyerahan dokumen dibuat pagi ini kepada pihak pembelaan, namun terdapat beberapa dokumen masih belum disempurnakan termasuk laporan perubatan dan laporan psikiatri mangsa.

"Oleh itu, pihak kami memohon satu tarikh sebutan baharu pada penghujung November ini," kata Noor Shakira.

Peguam M Yalini yang mewakili Siti Bainun mengesahkan pihaknya menerima 21 dokumen itu hari ini.

"Pihak kami tidak membantah tarikh untuk pengurusan kes seterusnya ditetapkan bagi melengkapkan dokumen, sebelum mahkamah menetapkan tarikh bicara," kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 2:54 PM