PELAJAR memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PELAJAR memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pengurangan kapasiti 50 peratus pelajar di sekolah pada satu-satu masa, bagi mengurangkan kesesakan, sekali gus menyekat penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pendekatan itu diambil sebagai langkah keselamatan susulan kebimbangan ibu bapa jika berlaku kesesakan ketika pelajar tiba dan pulang.

"Pendekatan kita adalah untuk mengurangkan kapasiti sekolah kepada 50 peratus. Ini adalah tindakan yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Apabila kita buka sekolah, perkara pertama yang dirisaukan oleh ibu bapa apabila mereka lihat di luar sekolah itu bersesak-sesak.

"Dalam kelas dah cantik dan pelajar ikut SOP (prosedur operasi standard) tapi bila keluar dilihat ramai dan sebab itu kita kurangkan kapasiti kepada 50 peratus dan dengan pengurangan ini kita dapat kawal pergerakan pelajar," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah (SMKTK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin.

Radzi berkata, melalui pendekatan berkenaan juga, pihak sekolah dapat mengelak kesesakan terutama ketika melakukan penyuraian pelajar dalam keadaan yang selamat.

"InsyaAllah dengan pengurangan ini, ia dapat diuruskan dengan selamat dan kita pastikan pendekatan digunakan sebelum ini terus dilaksanakan.

"Sekarang ini walaupun 50 peratus, tapi sekolah perlu membuat penyuraian berperingkat, supaya proses itu berlangsung dengan baik. Kita tak nak cantik atas kertas tapi lain ketika dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya mendapati ramai kalangan ibu bapa memilih menghantar anak ke sekolah namun begitu masih ada merasakan masanya belum sesuai untuk mereka berbuat demikian.

"Seperti mana yang kita maklum sebelum ini, pihak sekolah tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin, cuma ibu bapa perlu maklumkan kepada sekolah.

"Kalau kita lihat trend sebelum ini apabila sesi persekolahan dibuka pada Jun tahun lalu dan pada Mac lalu, di peringkat awal sebahagian ibu bapa mengambil pendekatan tidak menghantar anak terlebih dulu.

"Namun dalam satu tempoh, kita lihat bahawa kehadiran itu amat baik," katanya yang berpuas hati dengan semangat ditunjukkan pelajar untuk ke sekolah.

Terdahulu, beliau turut melawat SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban; SMK Tunku Muhammad; Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar dan Kolej Vokasional Juasseh, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:50 PM