BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melihat penyatuan rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga dengan mengetepikan perbezaan agama, kaum dan fahaman politik.

Beliau berkata selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia, kerjasama semua pihak amat diharapkan untuk membangunkan negara ini.

"Saya mahu kita hidup seperti satu keluarga yang kita lupakan segala perbezaan yang ada, sama ada dari segi agama, kaum malah perbezaan fahaman politik pun perlu diketepikan, supaya semua rakyat bersama-sama berganding bahu membangunkan Malaysia ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

Ismail Sabri berkata perbezaan yang ada dalam kalangan masyarakat perlu diraikan serta tidak menjadi halangan untuk bersatu padu.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Perdana Menteri berkata semangat kerjasama itu turut ditonjolkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu, demi kepentingan rakyat dan negara khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau menyifatkan ia sebagai politik baharu Malaysia seperti mana amalan di negara maju yang lain, dengan kerajaan dan pembangkang berganding bahu membangunkan negara.

"Jadi antara pembangkang dan kerajaan (kita) bersama-sama membina negara. Ya kita berlawan, tetapi waktu pilihan raya lima tahun sekali. Apabila rakyat sudah memberi mandat kerajaan ditubuhkan, kita kena bersama-sama membina negara ini.

"Politiking sepatutnya dihentikan, kerana pembangkang juga boleh memberikan pandangan untuk 'check and balance', dan dalam masa yang sama mana yang baik kita akan ikut dan dengan itu kita boleh bersama-sama membangunkan negara," katanya.

Memorandum yang didedahkan kepada umum itu, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Ismail Sabri juga berkata menerusi MoU berkenaan, sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun akan tercapai, sekiranya mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak.

"Insya-Allah lebih mudah untuk kita capai dan apa yang kita buat adalah untuk kepentingan rakyat, itu yang penting," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu, di atas cadangan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang itu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau ada meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada dirinya sendiri dalam tempoh menjadi perdana menteri, Ismail Sabri berkata prestasinya ditentukan oleh rakyat.

"Yang pertama rakyat ingin melihat bahawa isu Covid-19 diselesaikan dan yang kedua rakyat mahu lihat ekonomi dipulihkan, supaya mereka boleh menjalani penghidupan yang lebih baik daripada sewaktu pandemik atau mungkin sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 11:59 PM