Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Kerajaan menafikan Malaysia menjadi transit longgokan sisa berjadual seperti didakwa segelintir pihak, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap sisa yang dibawa masuk ke dalam negara dengan membenarkan sisa berjadual diluluskan masuk, dan jika sebaliknya akan dihantar pulang ke negara asal.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menghantar beratus-ratus kontena mengandungi sisa buangan berjadual ke negara asal kerana melanggar undang-undang negara.

"(Dakwaan) tak betul sebab kita ada peraturan, sebagai contoh plastik ada kod-kod tertentu yang dibenarkan untuk masuk dan kita tak benarkan sampah yang kotor dan plastik benar masuk termasuk e-waste (sisa elektrik dan elektronik).

"Setakat ini, kerajaan buat keputusan tidak membenarkan import sisa e-waste dari luar negara dan kita tegas dengan perkara itu.

"Pemantauan sentiasa dibuat melalui pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) di pelabuhan kerana kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat buang sampah dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Dana Fasa 2 Pasaraya Wakaf Ummah di Mukim Pak Sabah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan ada syarikat tempatan termasuk yang ditubuhkan bersama pelabur asing menggunakan kod kastam palsu untuk membawa masuk sisa berjadual ke negara ini.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, dilaporkan berkata, Malaysia kini menjadi antara negara dijadikan pusat memproses sisa buangan berjadual untuk dijadikan jongkong sebelum dieksport ke negara lain terutama China.

Wan Abdul Latiff dipetik berkata, sebanyak 77 jenis buangan berjadual disenaraikan di bawah Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Tuan Ibrahim pada sidang media selepas pelancaran dana fasa dua Pasaraya Wakaf Ummah di Kampung Pak Sabah. FOTO BERNAMA
Tuan Ibrahim pada sidang media selepas pelancaran dana fasa dua Pasaraya Wakaf Ummah di Kampung Pak Sabah. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 8:29 PM