Ahmad Marzuk Shaary ketika lawatannya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahmad Marzuk Shaary ketika lawatannya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Walaupun pengambilan vaksin Covid-19 harus, namun rakyat digalakkan mengambilnya sebagai satu tanggungjawab dalam kehidupan bersosial memandangkan majoriti rakyat di negara ini sudah divaksin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pengambilan vaksin kini bukan untuk mencapai imuniti kelompok, tetapi untuk melindungi diri daripada Covid-19.

Katanya, pengambilan vaksin ini bagi mengurangkan mereka yang dijangkiti Covid-19 daripada terdedah dengan risiko kematian dan tahap kesihatan yang serius.

"Apa yang dilakukan kerajaan ini amat positif (ambil vaksin), walaupun dijangkiti (Covid-19), tetapi ia tidak membawa kepada kematian atau jangkitan serius.

"Untuk menggalakkan individu yang tidak mahu divaksin dan mengambil vaksin Covid-19, kerajaan perlu meneruskan kempen termasuk memberi penjelasan berfakta dan kajian yang benar mengenai vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbang RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Ahmad Marzuk menjelaskan, bagi peringkat Jabatan Agama, Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) memutuskan pengambilan vaksin Covid-19 ini adalah harus.

"MFK menilai bahawa vaksin yang diedarkan dan diberi pada rakyat adalah vaksin yang selamat serta halal.

"Cuma kita berdepan dengan beberapa gerakan 'anti vaksin' yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar masyarakat khususnya di luar bandar kerana mereka ini kadang menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka yang enggan mengambil vaksin Covid-19 kemungkinan mereka mempunyai penyakit atau terlantar.

Katanya, namun, tidak dinafikan ada yang tidak mahu divaksin kerana salah anggap mereka mengenai vaksin.

Media sebelum ini melaporkan, takut dengan vaksin, agenda Yahudi, vaksin berbahaya dan mengalami masalah kesihatan menyebabkan lebih 27,000 individu dewasa di Kelantan tidak mahu menerima vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dipetik berkata, daripada jumlah itu, lebih 9,000 individu mengisytiharkan mereka langsung tidak mahu divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:55 PM