Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Rakyat perlu kekal berwaspada walaupun negara kini sedang menuju ke fasa endemik dengan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi menghampiri kadar 90 peratus.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dengan pelbagai kelonggaran termasuk rentas daerah dan negeri akan dibenarkan sedikit masa lagi.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan tiket kepada kebebasan sepenuhnya, dengan mengambil kira penularan virus Covid-19 sudah berada di dalam komuniti.

"Mungkin ada di antara kita yang keluar beriadah dan makan di restoran memandangkan semakin banyak sektor ekonomi dan sosial sudah dibuka, terutama kepada mereka yang telah menerima suntikan lengkap vaksinasi.

"Suka saya ingatkan, kita masih perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus Covid-19 ini telah pun berada di dalam komuniti.

"Transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin berkata, masyarakat perlu mengambil iktibar dari negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi, tetapi bilangan kes positif masih meningkat.

"Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan saya yakin kerajaan juga akan mengambil langkah perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.

"Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung daripada dijangkiti dengan teruk oleh virus Covid-19. Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menyeru semua rakyat agar menyokong usaha untuk kembali ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Katanya, usaha dan perancangan cekap kerajaan sejak Mei lalu mula menampakkan hasil memberangsangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi secara agresif, penurunan kes positif Covid-19, selain komitmen mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam.

"Sehingga 2 Oktober lalu, sebanyak 87.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan dos lengkap, lebih awal daripada jangkaan kita sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 4:57 PM