Baharom Bakar

Kuala Terengganu: "Ketika bersiap pagi tadi baru saya sedar seragam sekolah sudah ketat, tapi saya pakai juga kerana teruja untuk ke sekolah," kata Elrriessha Farizal Rizal, 17.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata, dia akan membeli seragam baharu sebaik pulang dari sekolah hari ini supaya lebih selesa.

"Malam tadi, saya hanya perasan baju kotor, sebelum membasuh dan mengeringkannya.

"Namun, saya tidak mencubanya sehingga bersiap pagi tadi... tetapi saya tetap memakainya janji dapat pergi sekolah," katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi persekolahan di SMK Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Seorang lagi pelajar, Aina Mardiah Kamaruddin, 17, berkata, walaupun terpaksa mengikuti pembelajaran secara bersemuka dan bergilir serta hanya lapan pelajar dalam satu kelas, ia tidak menjejaskannya untuk mengikuti pembelajaran.

"Kaedah itu lebih memudahkan saya memberi tumpuan setiap mata pelajaran.

"Walaupun bergilir, saya tidak akan pulang ke rumah, sebaliknya akan terus tinggal di asrama untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian," katanya.

AINA Mardiah. FOTO Baharom Bakar
AINA Mardiah. FOTO Baharom Bakar

Sementara itu, seorang bapa kepada pelajar, Mohd Nazri Nainy, 45, dari Bukit Besar, di sini, mengakui berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan pengurusan sekolah.

Katanya, setiap pelajar termasuk anaknya, Mohd Nadzmi diwajibkan melakukan dua kali ujian suhu badan sebelum memasuki kelas.

"Semua pelajar juga turut diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang mengikuti pembelajaran.

"Ibu bapa pelajar tidak perlu bimbang untuk menghantar anak ke sekolah, kerana pengurusan sekolah mengutamakan SOP bagi menangani penularan pandemik Covid-19," katanya.

ELRRIESSHA terlalu teruju ke sekolah hingga lupa memeriksa pakaian seragam sekolah sedang melakukan ujian suhu badan ketika memasuki kawasan sekolah, hari ini. FOTO Baharom Bakar
ELRRIESSHA terlalu teruju ke sekolah hingga lupa memeriksa pakaian seragam sekolah sedang melakukan ujian suhu badan ketika memasuki kawasan sekolah, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 1:50 PM