PETUGAS kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Maeps. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
PETUGAS kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Maeps. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 177,220 warga emas atau 7.9 peratus telah dijangkiti Covid-19 setakat 30 September lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan warga emas dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.

Katanya selain itu, sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini, sebanyak 14,248 atau 56.6 peratus kes kematian akibat Covid-19 melibatkan warga emas dilaporkan.

"Walau bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) 2021.

"Sehingga 29 September, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas telah lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4 peratus) warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata setakat 26 September, seramai 19,641 (66.8 peratus) penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap dan pemberian vaksin akan diteruskan bagi memastikan golongan berisiko tinggi itu terlindung daripada jangkitan Covid-19.

Beliau berkata fasa dua PICK untuk warga emas dan rentan, yang bermula pada April lalu, mula menunjukkan keberkesanan apabila statistik Hospital Sungai Buloh menyaksikan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori empat serta lima berbanding golongan dewasa berumur lingkungan 20 hingga 59 tahun.

Katanya selari dengan langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 1 Okt sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa, Kementerian Kesihatan komited dalam usaha membangunkan sistem kesihatan negara khususnya untuk memberi sokongan kepada golongan itu.

Dr Noor Hisham berkata, langkah itu penting sebagai persediaan mendepani pertambahan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas dan PBB mengunjurkan Malaysia berdepan penuaan penduduk sekitar tahun 2030 apabila peratusan golongan itu mencecah 15 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.

Mengulas perkembangan kes harian Covid-19, beliau berkata daripada 10,915 kes baharu, sebanyak 1.3 peratus atau 139 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 98.7 peratus atau 10,776 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, sebanyak 15,396 kes sembuh direkodkan hari ini manakala 888 orang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi merangkumi 832 kes disahkan, 56 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 492 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 380 yang disahkan positif Covid-19 manakala 112 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau juga berkata 10 kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat di tempat kerja, empat komuniti dan dua kumpulan berisiko.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 8:42 PM