Noor Azmi ketika meninjau keadaan banjir kilat di Kampung Tanjung Bugis.FOTO SHAIFULSHAHRIN AHMAD PAUZI
Noor Azmi ketika meninjau keadaan banjir kilat di Kampung Tanjung Bugis.FOTO SHAIFULSHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan berdiam diri dan mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis terhadap mana-mana individu yang menyebar video tidak benar berkaitan program vaksinasi sehingga mencetuskan panik masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya kesal dengan beberapa siri video tidak benar yang tular membabitkan program vaksinasi pelajar baru-baru ini sehingga mengganggu perasan dan emosi ibu bapa dan pelajar.

Menurutnya, kesan daripada penularan video berkenaan menyebabkan ramai ibu bapa takut dan bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka untuk mengambil vaksin Covid-19.

"KKM menasihatkan semua pihak supaya tidak memandai-mandai menyebarkan sebarang video yang tidak benar. Kita memandang serius perkara ini dan akan membuat laporan polis supaya tindakan lebih keras dapat diambil.

"Kita tidak mahu perjalanan untuk menyelamatkan nyawa anak-anak melalui program vaksinasi terganggu dengan video yang tidak benar itu," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 19 keluarga mangsa banjir kilat di Kampung Tanjung Bugis di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, Noor Azmi menegaskan sehingga kini tidak ada kes kematian disebabkan program vaksinasi direkodkan pihaknya, malah juga tidak merekodkan sebarang kes miokarditis dan perikarditis.

"Kita tahu kesan sampingan vaksin memang ada namun tidak ada kes kematian direkodkan sehingga kini.

"Justeru ibu bapa perlu sentiasa memantau perkembangan anak-anak mereka yang telah divaksin dari semasa ke semasa manakala di sekolah, guru-guru juga perlu memantau perkembangan dan kesihatan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:51 PM