ISMAIL Sabri  menyerahkan surat pelantikan  kepada Azalina. FOTO Facebook Azalina Othman Said
ISMAIL Sabri menyerahkan surat pelantikan kepada Azalina. FOTO Facebook Azalina Othman Said
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia).

Perkara itu dikongsikan Azalina menerusi hantaran di akaun Facebooknya hari ini, yang turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan itu.

"Terima kasih YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan. Insya-Allah dengan kudrat yang ada, saya akan lakukan yang terbaik demi negara," katanya yang turut berkongsi foto beliau menerima surat pelantikan berkenaan.

Difahamkan, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima surat pelantikan itu daripada Perdana Menteri pada Khamis.

Azalina meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos lepas dan menyatakan tindakan tersebut diambil supaya dapat menjalankan kewajipan dengan berkesan tanpa rasa takut atau memihak kepada mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 4:13 PM