FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Kerajaan Johor dijangka membentangkan Belanjawan 2022 pada 25 November depan dengan pendekatan lebih proaktif dan bersifat mengembang bagi memulihkan ekonomi yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Belanjawan 2022 lebih banyak pakej rangsangan ekonomi untuk Johor akan diperkenalkan, bagi pemulihan ekonomi negeri.

"Sekatan pergerakan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan telah menyekat banyak perniagaan daripada beroperasi seperti biasa.

"Kegiatan ekonomi di Johor juga masih belum dapat dibuka sepenuhnya berikutan nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang perlu dipatuhi setiap negeri bagi membolehkan peralihan Fasa sekali gus lebih banyak kelonggaran diberikan.

"Antara faktor yang menjejaskan ekonomi negeri termasuklah disebabkan sempadan Malaysia-Singapura yang masih lagi ditutup dengan pembukaan sempadan terbabit masih dalam rundingan kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, menerusi Belanjawan Johor 2022 rakyat Johor akan terus dibantu dengan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban mereka.

"Kerajaan negeri akan terus bantu rakyat dan menambah baik pakej rangsangan ekonomi dengan pembabitan semua agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 3:30 PM