GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Akta Mencegah Lompat Parti perlu segera digubal bagi mengekang perkara itu berlaku kerana ia boleh memudaratkan kestabilan politik dan menggugat ketenteraman awam.

Penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan pergeseran dan pertelingkahan politik dikurangkan, penggubalan akta itu dilihat perlu disegerakan.

Beliau mengulas mengenai spekulasi mendakwa kerajaan negeri Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang pada bila-bila masa.

Ini berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat Adun itu sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).

Muhamad Nadzri berkata, jika benar empat Adun itu 'lompat' parti, kerajaan negeri boleh jadi tergantung.

"Bagi saya perkembangan ini menunjukkan, sekali lagi, pentingnya untuk kita wujudkan akta lompat parti atau 'recall election' (pilihan raya semula/pecat) sesegera yang boleh.

"Aktiviti (lompat parti) ini sudah menjadi rutin meskipun ia memberi gangguan yang mendasar terhadap kestabilan politik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, majoriti pentadbiran semasa mungkin perlu diuji jika dakwaan dibuat dengan terbuka dengan bukti yang kukuh.

"Namun dalam masa yang sama, di sebalik ancaman wabak Covid-19, tidak semua akan bersetuju dengan pertukaran kerajaan, atau mengadakan pilihan raya, walaupun mungkin jikamajoriti pentadbiran semasa tidak lagi mencukupi," katanya.

Menurutnya, kerajaan yang memerintah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan mestilah mempunyai mandat pemerintahan iaitu disokong majoriti ahli badan perundangan sepanjang pentadbiran itu.

"Kerajaan yg memerintah perlu ada majoriti termasuk sokongan ahli badan perundangan iaitu Adun di negeri dan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 2:48 PM