DATUK Seri Ahmad Maslan dan Datuk Hasni Mohammad (kanan sekali) meninjau PPV Benut bagi PICK Remaja berusia 12 hingga 17 tahun, di sini, hari ini. FOTO ihsan Parlimen Pontian
DATUK Seri Ahmad Maslan dan Datuk Hasni Mohammad (kanan sekali) meninjau PPV Benut bagi PICK Remaja berusia 12 hingga 17 tahun, di sini, hari ini. FOTO ihsan Parlimen Pontian
Mohamed Farid Noh


Pontian: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercadang untuk meneruskan hasrat sekali gus menyerahkan borang pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dalam masa terdekat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau masih mempunyai tempoh 10 hari untuk menghantar borang pencalonan kepada Datuk Azhar Azizan Harun sebelum sesi kedua persidangan Dewan Rakyat bersambung pada 25 Oktober ini.

Katanya, walaupun sebelum ini pencalonannya bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu ditolak Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), namun beliau percaya masih terdapat ruang perbincangan bagi membolehkannya mengisi kekosongan jawatan itu.

"Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang. Bagi sesi seterusnya Dewan Rakyat akan bersidang pada 25 Oktober nanti.

"Maka saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan.

Sementara itu, ditanya adakah Perikatan Nasional (PN) ada membuat permintaan kepada UMNO berkaitan jumlah kerusi bagi persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ahmad berkata, UMNO tegas untuk mempertahankan semua kerusi yang pernah dimenangi.

"Setakat ini UMNO tidak terima apa-apa permintaan daripada PN berhubung agihan kerusi.

"Oleh itu UMNO kekal dengan pendirian untuk teruskan pertahankan kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan terdapat perbincangan 'dalaman' yang sedang dibuat berhubung kemelut politik yang berlaku di Melaka.

"Isu di Melaka ini, elok tunggu dulu sebab ada perundingan yang sedang dibuat, jadi saya tidak boleh boleh berikan sebarang komen lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 2:19 PM