GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 3.2 peratus lagi diperlukan untuk mencecah angka 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat 11.59 malam tadi, seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Setakat semalam juga, sebanyak 94.2 peratus atau 22,059,329 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 71,779 atau 2.3 peratus daripada mereka melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 237,245 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam membabitkan 103,021 dos pertama dan 134,224 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 43,933,988 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 121 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat 11.59 malam tadi, menurun sedikit berbanding 192 kes kematian dilapor pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 26,456.

Bagaimanapun, daripada 121 kematian baharu itu, sebanyak 83 adalah kes kematian harian sebenar dalam purata tujuh hari, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau 'backlog', dan angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Sebanyak 28 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 10:53 AM