ANGGOTA Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan melaksanakan operasi sanitasi. FOTO Bernama
ANGGOTA Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan melaksanakan operasi sanitasi. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Hampir semua sekolah rendah dan menengah di pulau bebas cukai di sini sudah disanitasi sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan mulai Isnin depan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Yusuf Mohamad berkata, kerja-kerja sanitasi sudah dimulakan sejak seminggu lalu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Di Wilayah Persekutuan ini, sebanyak 17 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan melalui kaedah penggiliran.

Antara sekolah yang disanitasi termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, SMK Labuan, Sekolah Menengah (SM) Sains, SM Anthony, SM St Anne, SMK Mutiara dan SMK Lajau.

"Kerja-kerja sanitasi ini telah dimulakan di sekolah menengah sebelum beralih ke sekolah rendah, dan kita pastikan kerja ini disiapkan sebelum sesi persekolahan bermula," katanya kepada Bernama hari ini.

Kementerian Pendidikan akan mengambil kira situasi semasa di Wilayah Persekutuan Labuan dalam menyusun kerangka pembukaan semula sekolah menjelang 4 Oktober ini.

Pada 5 September lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin dilapor berkata, memandangkan Labuan wilayah dan negeri pertama di negara ini yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka, kementerian akan mengambil kira segala pandangan yang diberi agensi berkaitan di sini dalam menyusun kerangka yang diperlukan.

Dalam pada itu, Yusuf berkata, prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sesi persekolahan sudah dikongsi dan diedarkan kepada guru serta ibu bapa melalui ketua kampung.

Pematuhan SOP dalam bilik darjah dan kawasan sekolah selain sistem penyuraian pelajar yang teratur diberi perhatian utama sebelum sekolah di Labuan dibuka semula, Isnin ini.

Semua aspek garis panduan itu ditekankan pengurusan sekolah bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah apabila sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dijalankan kembali.

Menurutnya, pihak sekolah juga akan memastikan aspek kebersihan dan kemudahan pembelajaran dalam keadaan baik selepas lebih enam bulan tiada aktiviti pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:51 PM