GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 3.7 peratus lagi diperlukan untuk mencecah angka 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi.

Berdasarkan perincian yang dikongsi di portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat 11.59 malam tadi, seramai 20,202,624 individu atau 86.3 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Setakat semalam juga, sebanyak 94.2 peratus atau 22,042,703 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 52,774 atau 1.7 peratus daripada mereka melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 329,163 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam membabitkan 167,443 dos pertama dan 161,720 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 43,696,743 dos.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat akan dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi lengkap dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat KKM.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 192 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat 11.59 malam tadi menurun sedikit berbanding 208 kes kematian dilapor pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 26,335.

Bagaimanapun, daripada 192 kematian baharu itu, sebanyak 89 adalah kes kematian harian sebenar dalam purata tujuh hari, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau 'backlog', dengan angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Sebanyak 47 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Sarawak merekodkan kes kematian tertinggi iaitu dengan 40 kes, diikuti Johor (34), Perak (23), Pulau Pinang (21), Sabah (20), Selangor (18), Kedah (sembilan), Terengganu (lapan), Kuala Lumpur (tujuh), Melaka dan Perlis masing-masing empat, Negeri Sembilan (dua) serta Kelantan dan Pahang masing-masing satu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 10:30 AM