GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Upacara penghormatan terakhir dalam majlis pengebumian mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, Kluster Mokodou, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster yang dikenal pasti di daerah Ranau itu diklasifikasikan sebagai kluster komuniti.

Menurutnya, kes indeks adalah warga emas lelaki berusia 65 tahun yang dikesan positif hasil saringan bergejala di Hospital Ranau pada 25 September lalu.

"Siasatan awal mendapati isteri kepada kes indeks meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Mokodou kerana penyakit kanser usus tahap empat pada 15 September.

"Upacara penghormatan terakhir kepada si mati dijalankan di rumah kes indeks yang dihadiri oleh hampir 60 peratus penduduk Kampung Mokodou serta keluarga dari Kampung Tumbalang.

"Saringan kontak rapat dilakukan pada 27 dan 28 September lalu dan mengesan pertambahan bilangan kes positif di Mukim Malinsau dan Mukim Timbua dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan yang menghadiri majlis pengebumian di Kampung Tumbalang.

"Daripada 146 orang yang disaring, 94 orang didapati positif termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan hari ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri turut berkata jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,000 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 196,980 kes.

"Sebanyak 22 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lapan kes di Sandakan, tiga kes di Kunak, dua kes di Kota Belud, Putatan dan Tawau manakala masing-masing satu kes di Semporna, Kota Kinabalu, Tambunan, Lahad Datu dan Kalabakan.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,273 menjadikan jumlah kumulatif 177,363 orang.

"Manakala 3,233 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,234 orang di hospital, 1,951 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 40 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala lapan orang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 11:31 PM