FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sebanyak 4,883 permohonan diterima hingga 12 tengah hari ini selepas Portal Home Quarantine Application (HQA) dibuka pada 21 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu,

sebanyak 1,741 permohonan atau 35.7 peratus sudah diproses, manakala 1,612 permohonan lagi atau 33 peratus diberi kelulusan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

"Daripada 5,947 individu pemohon terbabit, kebanyakannya membabitkan pemohon warganegara iaitu seramai 3,921 orang atau 65.9 peratus diikuti individu bukan warganegara (1,910 orang atau 32.1 peratus) dan pemastautin tetap (116 orang atau 2.0 peratus).

"Bagaimanapun, sistem permohonan dalam talian ini masih dalam proses peralihan dan dijangkakan portal ini akan digunakan sepenuhnya mulai Oktober ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mensasarkan lebih banyak permohonan akan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga hari selepas ini.

"Sistem ini juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan cadangan yang diberikan.

"KKM ingin menasihati semua pemohon yang diberikan kemudahan itu supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah sepenuhnya agar dapat mengurangkan risiko menyebarkan Covid-19 kepada keluarga dan komuniti.

"Perihal ini amat penting bagi mengelakkan penularan varian yang baharu terutamanya Variant of Concern (VOC) atau Variant of Interest (VOI) ke dalam negara," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melancarkan Portal HQA pada 20 September lalu sebagai salah satu persiapan menghadapi pertambahan kemasukan pengembara dari luar negara atas pelbagai tujuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 8:21 PM