FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Harga ayam segar di bandar raya ini yang dijual antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram menyebabkan jualannya merosot sehingga 30 peratus, sejak pertengahan bulan lalu.

Tinjauan di pasar basah di Tampoi dan Pandan di sini, mendapati harga bekalan itu kekal seperti harga bulan lalu yang mengalami lonjakan selepas Aidiladha, berbanding harga pada Julai iaitu antara RM7 hingga RM7.50 sekilogram.

Peniaga, Hafizul Mohamad berkata, dia mendapatkan bekalan ayam pada harga tinggi kerana pembekal hanya menurunkan 30 sen untuk setiap ekor ayam.

"Jadi macam mana kami nak turunkan harga ayam lebih murah jika pembekal dari ladang pun hanya turunkan 30 sen setiap ekor.

"Ini yang menyebabkan jualan ayam segar merosot antara 25 hingga 30 peratus kerana pengguna elak beli ayam. Jika dulu harga RM7.50 hingga RM8, saya mampu menjual antara 300 hingga 350 ekor sehari, sekarang nak capai 200 ekor sehari pun susah.

"Kos operasi tinggi, kos pekerja lagi dan kos sewa. Ramai peniaga yang mengeluh apabila kami dipersalahkan kerana harga ayam mahal sedangkan ia sudah tinggi daripada ladang," katanya ketika dihubungi.

Disebabkan itu Hafizul berkata terdapat peniaga yang menjual ayam pada harga RM10 berbanding harga siling RM9.50 kerana memperoleh margin keuntungan yang rendah.

Seorang lagi peniaga ayam segar, Mohd Kamal Kamsan turut mengakui harga ayam masih dijual melebihi paras siling kerana peladang menjualnya pada harga tinggi.

"Mana ada harga ayam turun sebab pembekal masih kekalkan harga seperti sebelum ini.

"Oleh itu, peniaga terpaksa menjualnya pada harga ayam segar pada harga RM10 sekilogram walaupun pengguna mengeluh dan memboikot untuk beli ayam," katanya.

Pada 22 September lalu, pihak industri dilapor bersetuju untuk menurunkan harga ayam di peringkat pengeluar atau peladang sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan bekalan bahan mentah itu pada harga berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan memaklumkan, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat libat urus kementerian berkenaan bersama industri di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 4:00 PM