ANTARA pelajar yang telah divaksin. FOTO NSTP
ANTARA pelajar yang telah divaksin. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penjelasan mengenai vaksin Covid-19 harus diberikan kepada remaja atau pelajar sekolah secara berterusan supaya mereka lebih prihatin tentang pencegahan penyakit dalam mengekang penularan wabak berkenaan terhadap golongan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata, walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pelajar mengambil vaksin, namun kaunselor di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu memainkan peranan memberi kesedaran dan kepentingan vaksinasi kepada pelajar.

"Suntikan vaksin amat penting untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 sekali gus memastikan sistem pembelajaran berfungsi dengan baik. Pemberian vaksin kepada remaja adalah jalan terbaik bagi mengekang penularan jangkitan itu dalam kalangan remaja.

"Ibu bapa harus memahami situasi pandemik ketika ini dan dapat memberikan kerjasama yang baik dengan mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan vaksin supaya ekosistem pendidikan Malaysia tidak terjejas," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Wang berkata, pandemik COVID-19 adalah satu cabaran kepada golongan pendidik dan pelajar dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana wabak itu bukan sahaja membabitkan nyawa seorang pesakit, tetapi satu komuniti atau populasi.

Katanya, NUTP percaya sekolah-sekolah akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan mengambil kira langkah mengawal penularan jangkitan Covid-19 ketika pelajar memulakan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula secara rasmi pada 20 September lepas menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dengan 60 peratus daripada mereka mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Bagaimanapun, program itu dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September dan Labuan pada 11 September selepas kadar vaksinasi di negeri dan wilayah persekutuan berkenaan mencapai 80 peratus, manakala di Sabah pula dimulakan pada 16 September kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 9:47 AM