Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: Cubaan dua bot nelayan Vietnam yang dikesan mencuri sumber laut negara melarikan diri dengan melepaskan tali dan besi penghadang di sisi bot bagi mengelak ditahan berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kegiatan nelayan asing terbabit dikesan APMM Kelantan masing-masing pada jarak 54 dan 56 batu nautika, jam 5.07 petang dan 5.35 petang, kelmarin.

Dua bot yang cuba menangkap gamat itu berjaya ditahan bersama sembilan nelayan termasuk dua tekong dan peralatan menangkap ikan serta 10,000 liter minyak diesel dirampas dengan nilai keseluruhan RM600,000.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, sebelum ditahan dua bot itu cuba melarikan diri, namun dikejar oleh Kapal Maritim (KM) Amanah diketuai Leftenan Komander Maritim Abdul Hamid Abdullah.

Katanya, KM Amanah mengesan kedua-dua bot nelayan asing pada jam 3.29 petang menerusi Operasi Kuda Laut di perairan Kelantan dan terus mengatur gerak untuk mengejar mereka.

"Semasa dirapati, kedua-dua bot bertindak melepaskan tali ke dalam air serta meletakkan besi penghadang di sisi bot untuk elak ditahan.

"Kita terpaksa mengejar kedua-dua bot itu yang menuju ke sempadan negara dan mengambil masa hampir dua jam sebelum berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Jeti APMM Tok Bali, di sini, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, hasil pemeriksaan menemui peralatan menangkap ikan, 10,000 liter minyak diesel dan sembilan nelayan berusia di antara 24 hingga 53 tahun.

Beliau berkata, tiada sebarang hasil laut ditemui dan kedua-dua bot dipercayai baharu masuk ke perairan negara dan belum sempat menangkap gamat.

"Sembilan kru itu ditempatkan di bilik tahanan dan disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian calitan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985, manakala kesemua nelayan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 4:33 PM
Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman  menunjukkan unjang untuk menangkap gamat di dalam dua bot nelayan Vietnam yang ditahan dan peralatan menangkap ikan serta 10,000 liter bekalan diesel dirampas dengan nilai keseluruhan RM600,000 pada jarak 54 dan 56 batu natika ketika ditemui di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman menunjukkan unjang untuk menangkap gamat di dalam dua bot nelayan Vietnam yang ditahan dan peralatan menangkap ikan serta 10,000 liter bekalan diesel dirampas dengan nilai keseluruhan RM600,000 pada jarak 54 dan 56 batu natika ketika ditemui di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR