Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan menggariskan empat matlamat utama dalam tempoh lima tahun pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.

Menurutnya, kerajaan juga menganggarkan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.

"Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.

"Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015," katanya ketika pembentangan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan sembilan fokus utama RMK-12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

Menurutnya, fokus pertama ialah merancakkan pertumbuhan ekonomi manakala fokus kedua memperkukuh pemangkin pertumbuhan dan ketiga ialah meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Seterusnya keempat ialah memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, kelima membasmi kemiskinan tegar serta merapatkan jurang pendapatan.

"Manakala keenam ialah memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, ketujuh pula melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri kurang membangun," katanya.

Selain itu, katanya, fokus kelapan kerajaan pada RMK-12 berkenaan adalah mempercepat pertumbuhan hijau.

Tambah beliau, akhir sekali adalah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

"Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:42 PM