Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan pejabat daerah akan ditubuhkan bagi membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandemik Covid-19 yang melanda meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga dalam kemiskinan.

Katanya, bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, Malaysia perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai oleh beberapa negara lain.

"Maka, inisiatif membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara.

"Justeru, unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan dan unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil (CSO).

"Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus, untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi menjelang 2025," katanya ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

Beliau berkata, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak.

"Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

"Kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan ini. Saya menyeru sektor korporat dan orang perseorangan untuk membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan.

"Sekecil mana pun bantuan yang dihulurkan, termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf, jika digembleng akan membawa manfaat yang besar.

"Kemiskinan pada hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan. Sehubungan ini, dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:40 PM