Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan pindaan perlembagaan Undi 18 yang membolehkan warganegara berusia 18 tahun dapat mengundi dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi merealisasikan hasrat anak muda yang sentiasa ingin menyuarakan pandangan untuk bersama membangunkan negara melalui amalan demokrasi.

"Saya beriltizam untuk menjadikan kerajaan berprestasi tinggi memenuhi harapan rakyat. Ini adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 September lalu supaya kita terus mendokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah.

"Saya memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti serta bertanggungjawab.

"Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri berkata, Pelan Pelaksanaan Dasar RMK-12 disediakan sebagai panduan kepada kementerian dan agensi dalam melaksana semua dasar.

Beliau meletakkan tanggungjawab kepada semua Menteri dan kementerian untuk bersama-sama melaksana serta memantau pencapaian sasaran RMK-12.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:31 PM