Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

Katanya, langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi 4IR.

"Awal tahun ini, kerajaan telah melancarkan agenda MyDigital dan diikuti dengan Dasar 4IR Negara.

"Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

"Kerajaan menerajui agenda ini melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Penyediaan infrastruktur digital membabitkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada.

"Seterusnya, bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta," katanya ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.

"Kita sedar teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan kita pada masa kini.

"Pembelajaran anak-anak kita telah terganggu disebabkan kekurangan peralatan dan akses kepada teknologi.

"Oleh itu, kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital," katanya.

ISMAIL Sabri.
ISMAIL Sabri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:23 PM