Balqis Jazimah Zahari


Batu Gajah: Perak sedang mengkaji keperluan pemberian suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, bagaimanapun, pihaknya menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menentukan keputusan pelaksanaan pemberian dos ketiga itu.

"Kita masih dalam kajian. Kita sedang menunggu arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Jadi, setakat ini kita memang belum ada keputusan untuk perkara itu (pelaksanaan dos penggalak)," katanya selepas meninjau pembukaan vaksinasi Dos 2 secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Silverlakes Kinta Valley di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, ini kerana segala keputusan berhubung pelaksanaan dasar pemberian dos itu berada di bawah KKM.

Beliau berkata, Perak ketika ini sedang memberi fokus kepada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja terhadap pelajar di negeri ini.

"Kita mengambil peluang ini untuk menyeru ibu dan bapa memberi kerjasama pada pihak sekolah untuk mendaftar anak melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima vaksin di PPV yang sudah ditetapkan," katanya sambil memaklumkan perjalanan pemberian PICK Remaja di negeri berjalan lancar.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, pihaknya turut sedang mengkaji berkenaan jangkaan penutupan beberapa PPV di negeri ini, Oktober depan.

"Walaupun penutupan PPV itu bakal berlaku tetapi program Outreach suntikan vaksin masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, katanya, penerima vaksin dos kedua di PPV Dewan Bandaran Kinta akan dipindahkan ke PPV Silverlake secara berperingkat bermula hari ini dengan proses vaksinasi akan dijalankan secara pandu lalu.

"Ia bertujuan menyelesaikan masalah aliran trafik dan kekangan ruang tempat letak kereta di sekitar kawasan PPV Dewan Bandaran Kinta sekali gus menyediakan tempat lebih selesa kerana kapasiti penerima dos kedua pada tarikh beberapa tarikh ditetapkan melebihi kapasiti asal di PPV berkenaan iaitu 1,200 dos penerima vaksin sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:06 PM