PANTAI Chenang hidup kembali selepas pembukaan projek rintis gelembung pelancongan. FOTO Hamzah Osman
PANTAI Chenang hidup kembali selepas pembukaan projek rintis gelembung pelancongan. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 20,257 pelancong berkunjung ke pulau peranginan ini sejak pembukaan projek rintis gelembung pelancongan mulai 16 September hingga Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata jumlah itu membabitkan pelancong domestik dan luar negara.

"Secara purata pulau ini mencatat kemasukan 2,000 pelancong sehari sejak 16 September lalu, dengan 1,500 pelancong masuk melalui laluan udara dan 500 melalui feri.

"Kita yakin mampu mencapai sasaran sehingga 200,000 pelancong akan berkunjung ke pulau ini menjelang akhir tahun," katanya ketika ditemui ketika meninjau Pantai Chenang dan Pantai Tengah, di sini, hari ini.

Firdaus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah berkata, jumlah kemasukan pelancong masih tidak terlalu tinggi ketika ini susulan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan kepada pelancong.

"Namun, angka itu dijangka meningkat menjelang tiga bulan akan datang apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan, selain ketibaan musim cuti sekolah akhir tahun.

"Rakyat yang lama terhimpit dan berkurung akibat pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pasti mahu keluar bercuti bersama keluaga ke pulau ini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pelancong, penduduk tempatan dan peniaga supaya patuh SOP bagi menjamin sektor pelancongan terus dibuka dan mengelak ditutup semula akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:06 AM