Anggota polis memeriksa aplikasi MySejahtera untuk memastikan orang ramai lengkap vaksinasi sebelum dibenarkan melepasi SJR Lebuhraya Senai-Desaru di Kota Tinggi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Anggota polis memeriksa aplikasi MySejahtera untuk memastikan orang ramai lengkap vaksinasi sebelum dibenarkan melepasi SJR Lebuhraya Senai-Desaru di Kota Tinggi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Omar Ahmad

Kota Tinggi: Lebih 10 kenderaan diarahkan berpatah balik ketika cuba merentas daerah masuk ke Kota Tinggi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, kesemua mereka diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan masuk ke daerah itu oleh petugas di sekatan jalan raya (SJR) Lebuhraya Senai-Desaru di sini.

Menurutnya, antara sebab mereka diarahkan berpatah balik adalah kerana masih belum lengkap vaksinasi.

"Tidak lengkap vaksinasi itu sama ada baru mendapat satu dos vaksin atau masih belum melepasi tempoh 14 atau 28 hari selepas mendapat dos kedua vaksin.

"Pemeriksaan turut dilakukan di tempat peranginan dan rekreasi termasuk kawasan tepi pantai daerah ini.

"Terdapat individu yang diarah meninggalkan pantai dan tempat rekreasi kerana gagal mematuhi arahan ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Masyarakat perlu tahu, syarat utama untuk melakukan rentas daerah tanpa kebenaran PDRM serta berada di tempat peranginan atau rekreasi adalah lengkap vaksinasi yang bermaksud melepasi tempoh 14 hari atau 28 hari selepas mendapat dos kedua vaksin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hussin, setakat ini belum ada lagi kompaun dikeluarkan atas kesalahan terbabit.

"Pendekatan menasihati orang awam masih lagi dipraktikkan buat masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 10:01 PM