Datuk Rosol Wahid.
Datuk Rosol Wahid.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Harga barangan keperluan dan barang mentah dalam negara ketika ini stabil biarpun pelbagai pihak berdepan cabaran susulan situasi ekonomi.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga dinasihatkan supaya tidak menaikkan harga keperluan itu sesuka hati.

Sebaliknya, katanya, mereka perlu bersama-sama membantu dengan memberikan harga yang terbaik kepada pengguna.

"Kita dapati harga stabil pada masa ini, di sesetengah tempat ada barangan yang turun. Jadi ia petanda yang baik kepada kuasa beli rakyat.

"Pada masa sama, peniaga dinasihatkan tidak menaikkan harga sehingga mencetuskan kebimbangan pengguna. Kita akan terus memantau pada setiap masa," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini beliau mencadangkan supaya sistem subsidi dilaksanakan kepada pengusaha ladang ayam terbesar bagi mengawal kenaikan harga ayam di seluruh negara.

Ia akan diberikan kepada 20 pengusaha ladang ayam di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak, yang mengeluarkan 80 peratus bekalan ke seluruh negara.

Rosol berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan aduan kepada penguat kuasa bagi membolehkan tindakan diambil.

"Kita akan pastikan setiap aduan diambil tindakan dan jika bukan di bawah kementerian ini, kita akan salurkan kepada pihak berkaitan," katanya.

Menurutnya, sebarang aduan boleh dikemukakan di talian 1-800-886-800, emel ke [email protected], Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di 03-88826088/6245 atau menerusi aplikasi WhatsApp di 019-2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:02 PM