Pondok yang dijadikan tempat penyimpanan minyak masak bersubsidi diserbu anggota PGA Lahad Datu di Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu. FOTO IHSAN PGA SABAH
Pondok yang dijadikan tempat penyimpanan minyak masak bersubsidi diserbu anggota PGA Lahad Datu di Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu. FOTO IHSAN PGA SABAH
Juwan Riduan


Lahad Datu: Sebanyak 7,089 paket minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas dalam dua serbuan di Kampung Tandu, Felda Sahabat, di sini, semalam.

Serbuan pertama dilakukan pada 3.45 petang oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Benteng Covid-19 di sebuah pondok di hadapan jeti panjang Kampung Tandu, di sini.

Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 2,839 paket minyak masak yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, serbuan dijalankan atas maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, semua minyak masak berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"PGA kemudian meneruskan serbuan ke lokasi kedua di sebuah rumah dua tingkat di kampung berkenaan pada 4 petang.

"Dalam serbuan ini, pasukan operasi merampas 4,250 paket minyak masak dan menahan seorang lelaki berusia 63 tahun untuk siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, secara keseluruhan, PGA merampas sebanyak 7,089 paket minyak masak dianggarkan bernilai RM17,514 berdasarkan harga pasaran.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 1:07 PM