Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Pandemik Covid-19 yang bermula tahun lalu menyebabkan pemuda ini hilang pendapatan dan terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan yang membolehkan dia menyara keluarga.

Antara pilihan pekerjaan Mohd Saifullah Che Mat, 28, termasuk bercucuk tanam di tanah milik ayahnya, Che Mat Hussin, 72, di Kampung Chuchoh Puteri, di sini yang mana dia mulakan dengan menanam 800 pohon lada solok.

Malangnya pokok itu tidak menjadi dan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu kerugian RM4,000.

Dia bagaimanapun tidak berputus asa, sebaliknya menambah ilmu pertanian dengan menjadikan mereka yang pakar sebagai rujukan dan YouTube untuk teknik penanaman betul.

"Berpegang pada pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih, pada Jun tahun lalu saya bermula semula dengan 1,200 terung yang ditanam secara konvensional dan bermodalkan RM4,000 untuk membeli benih pokok.

"Alhamdulillah, tanaman terung saya berjaya dan dalam seminggu mampu mengutip sehingga 300 kilogram (kg) untuk dibekalkan kepada pemborong di sekitar daerah ini," katanya ketika ditemui di kebunnya.

Mohd Saifullah berkata, dia kemudian mencuba konsep tanaman fertigasi pada Oktober 2020 menerusi 1,800 pokok lada dan bersyukur usahanya yang tidak mengenal lelah membuahkan hasil.

"Menerusi kaedah fertigasi, pemberian baja dapat disukat dengan lebih tepat sesuai dengan keperluan tanaman harian dan juga air selain menjimatkan masa. Hasil dituai dalam tempoh lima bulan dan mendapat permintaan tinggi," katanya yang memohon geran bantuan pertanian RISDA yang diluluskan Jun lalu bagi menambah lagi tanamannya termasuk cili.

Kini, anak bongsu daripada lima beradik itu menjadi pembekal sayuran termasuk pasaran luar Kelantan iaitu Selangor, Johor, Perak dan Kuala Lumpur.

Dia mampu memenuhi permintaan pemborong dengan mengutip antara 70 hingga 100 kilogram hasil tani setiap minggu di kebun yang berkeluasan enam hektar.

Baginya kunci kejayaan adalah usaha, kesungguhan dan tidak cepat berputus asa walaupun selepas gagal.

"Saya mahu membuktikan bahawa pertanian mampu memberi pulangan lumayan dan menyeru anak muda di luar sana untuk turut sama bertani," katanya yang bersyukur kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

Mohd Saifullah bersyukur ikhtiarnya menjadi petani berjaya dan kini mampu menjadi pembekal hasil tani termasuk di luar Kelantan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Mohd Saifullah bersyukur ikhtiarnya menjadi petani berjaya dan kini mampu menjadi pembekal hasil tani termasuk di luar Kelantan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 9:50 AM