SAARANI (tengah) ketika sidang media Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Penjaja Majlis Daerah Lenggong (MDL) di Dewan Serbaguna Kota Tampan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SAARANI (tengah) ketika sidang media Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Penjaja Majlis Daerah Lenggong (MDL) di Dewan Serbaguna Kota Tampan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Pemberian vaksin tanpa janji temu bagi individu berusia 18 tahun ke atas di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Perak kurang mendapat sambutan sejak ia diumumkan 13 September lalu.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, sejak ia diumumkan, keadaan di beberapa PPV negeri ini masih lengang tanpa kehadiran ramai, sekali gus memungkinkan penilaian semula dibuat termasuk menutup PPV yang sudah kekurangan pengunjung.

"Pada saya, ia kena nilai semula, (sebab) kalau tiada orang apa yang nak ditunggu lagi? Sedangkan perkumpulan jururawat (petugas di PPV) di PPV sebenarnya mengganggu tugas hakiki mereka di hospital dan klinik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sekali Bayar Penjaja, Majlis Daerah Lenggong (MDL) di Dewan Serbaguna Kota Tampan di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua MDL Mohd Amzari Mohd Arzami dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Perak Kamarullaffie Ahmad.

Menurut beliau, perangkaan diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia berkaitan jumlah penduduk Perak yang berlainan dengan jumlah sebenar dilihat antara punca pengurangan kehadiran ke PPV di seluruh negeri ini.

Saarani berkata, selain itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada rakyat Perak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di negeri lain.

"Maklumat awal berkaitan bilangan rakyat Perak yang kita dapat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, mungkin adalah anggaran awal. Bilangan anggaran itu (sebenarnya) jauh lebih besar daripada jumlah sebenar.

"Ada juga sebahagian kes, orang Perak tetapi ambil vaksin di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Sedangkan kita buat persiapan sewajarnya (di PPV) berdasarkan kepada statistik awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, ia mungkin menyebabkan tidak ramai yang mengunjungi 22 PPV di Perak walaupun boleh melakukannya secara jumpa terus.

Berkaitan imuniti kelompok, Saarani berkata, negeri ini dijangka mencapai fasa terbabit selewat-lewatnya November ini memandangkan lebih 80 peratus daripada populasi dewasa di Perak sudah disuntik dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengenai pembukaan PPV di sekolah khusus bagi proses vaksinasi pelajar sekolah agama serta maahad tahfiz negeri ini melalui program Vaksin Anakku di Perak.

"Saya percaya ia akan disusun semula oleh KKM dan JPN Perak, sama ada ia berbaloi untuk lakukannya secara berpusat atau jangkauan komuniti sebab (pelajar sekolah agama dan tahfiz) lebih ramai bilangannya tetapi lebih mudah untuk diuruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 4:25 PM