Amir Mamat


Melaka: Seramai 200 pengayuh beca dan pemandu teksi di Melaka yang terjejas sumber pendapatan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerima kit makanan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

PPIM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menerusi Program Infaq Rezeki.

Sumbangan kit makanan bernilai RM100 setiap satu itu disampaikan secara pandu lalu diketuai Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz bersama Ketua Cawangan Sumber Manusia PERKESO, Mohd Razmi Khalid serta Ketua Operasi, Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Barseri.

Program Senergi CSR Infaq Rezeki itu dijayakan bersama kerajaan negeri Melaka, PERKESO, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pergerakan Komuniti Nasional serta Kelab Motor Kingz MG Malaysia.

PENGAYUH Beca Melaka datang secara berkumpulan semasa Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Prihatin Selatan 2021. FOTO Syafeeq Ahmad
PENGAYUH Beca Melaka datang secara berkumpulan semasa Program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Prihatin Selatan 2021. FOTO Syafeeq Ahmad

Mohd Razmi berkata, pihaknya terpanggil untuk menyalurkan bantuan kit makanan berkenaan selepas melihat ramai dalam kalangan pengayuh beca serta pemandu teksi di Melaka terjejas akibat penularan Covid-19.

"Kita rasa terpanggil untuk membantu penarik beca di Melaka yang dilihat benar-benar terkesan dengan pandemik ini.

"Penarik beca negeri ini adalah pencarum PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan sudah pasti golongan ini menjadi keutamaan kita untuk dibantu," katanya.

Sementara itu, Siti Khadijah berkata, Kempen Infaq Rezeki itu sudah dilaksanakan sejak Mac tahun lalu dengan tujuan untuk membantu golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sejak dilaksanakan, sebanyak 100,000 kit makanan sudah diagihkan kepada pihak memerlukan di seluruh negara.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah untuk kempen ini kita sudah mengagihkan sekitar 100,000 kotak seluruh negara dengan nilai perbelanjaan kira-kira RM8 juta, menerusi kerjasama beberapa rakan kongsi kami seperti PERKESO, APM dan Kelab Motor Kingz MG Malaysia.

"Sehubungan itu, PPIM mempelawa orang ramai yang berhasrat menyumbang bagi pelaksanaan program ini, boleh menghubungi kami menerusi laman web https://www.ppim.org.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 8:31 PM