Suraya Roslan dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Orang ramai diharap tidak keliru dengan istilah dos ketiga dan dos penggalak kerana terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dos ketiga diberi kepada mereka yang mempunyai respon sistem imun tidak mencukupi dan memerlukan respon dos optimum.

Menurutnya, dos penggalak pula diberi kepada mereka yang cukup respon imun sistem tetapi tahapnya turun dalam beberapa bulan dan perlu mendapatkan suntikan berikutnya sebagai perangsang bagi meningkatkan keberkesanannya.

"Ada perbezaan dos ketiga dan penggalak. Sekarang ini kita tengah bangunkan garis panduan dos ketiga dan akan beri ia terlebih dahulu.

"Kemudian, barulah dos penggalak bermula bulan depan apabila mendapat panduan klinikal daripada pakar dan membuat pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Hari ini, kita sudah hantar dan berharap akan lulus secepat mungkin," katanya ketika sidang media khas, hari ini.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin. FOTO  MOHD FADLI HAMZAH
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Sementara itu, Khairy berkata, pemberian dos ketiga akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Beliau berkata, dos ketiga itu dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 kerana dos kedua tidak mencukupi untuk meningkatkan tindak balas imuniti terhadap wabak.

"Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini dan akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV)

yang akan datang," katanya

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:25 PM