Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk campur tangan dan membuat ketetapan sewajarnya berhubung diskriminasi yang berlaku terhadap beberapa jenis vaksin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengambil maklum sesetengah negara menetapkan hanya individu yang menerima vaksin tertentu sahaja akan diberikan pengecualian daripada melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas, menjalani kuarantin selepas tiba di negara berkenaan dan sebagainya.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana penting untuk kita faham vaksin melindungi individu daripada risiko mendapat jangkitan yang lebih teruk serta mengurangkan gejala penyakit.

"Bagaimanapun, tahap perlindungan imuniti akan terkesan dengan kemunculan varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, keputusan sama ada kemudahan atau kelonggaran yang hendak diberikan kepada pengembara dari luar negara mestilah dibuat berdasarkan kawalan dan pencegahan penyakit serta tindakan kesihatan awam di negara itu dan bukannya berdasarkan jenis vaksin.

"Semua vaksin ini disenaraikan oleh WHO dan Malaysia juga mengikuti setiap senarai diberikan pertubuhan itu berhubung vaksin terbabit.

"Untuk itu, saya ingin menggesa UN (PBB) dan Pertubuhan WHO untuk campur tangan dan buat ketetapan yang sewajarnya serta adil dalam perjalanan antarabangsa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:03 PM