Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Kami terpaksa pujuk adik bongsu dengan memberitahu ibu di atas awan setiap kali dia bertanyakan di mana ibu terutama ketika mahu tidur," kata Nur Atirah Zafirah Hail Halim, 13.

Nur Atirah Zafirah berkata, ibunya, Zalipah Nordin, 40, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 7 September lalu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menurutnya, dia dan ibunya disahkan positif Covid-19 dimasukkan ke HSA pada awal September dan kali terakhir dia bertemu dengan ibunya adalah di tempat saringan Covid-19.

"Saya tidak mengetahui ibu ditidurkan dan mengetahui pemergiannya apabila mendapat ucapan takziah dalam satu kumpulan WhatsApp.

"Saya kemudian menghubungi ibu saudara bagi mendapatkan kepastian dan dia mengesahkan ibu meninggal dunia pada 7 September lalu," katanya.

Gambar kenangan arwah Zalipah Nordin, bersama anak-anaknya.
Gambar kenangan arwah Zalipah Nordin, bersama anak-anaknya.

Nur Atirah Zafirah dan tiga adiknya Nor Aimi Zakiah, 11, Nor Asyikin Zulaikha, 10, dan Nor Aisyah Zafirah, 4, kini yatim piatu kerana bapa mereka sudah meninggal dunia tiga tahun lalu akibat sakit jantung.

Empat beradik itu kini dijaga bapa saudara mereka Mohd Nazir Nordin, 46, di rumah pusaka keluarga di di Felda Air Tawar 2 di sini.

Nur Atirah Zafirah berkata, dia reda dengan pemergian ibunya yang dianggap wanita besi kerana berdikari menyara keluarga dengan mengambil upah menjahit ketika tinggal di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Menurutnya, malah dia akan menjadikan ibunya sebagai inspirasi demi melaksanakan tanggungjawab sebagai kakak sulung dengan sebaik mungkin.

"Kami semua merindui masakan ibu dan kasih sayangnya terutama adik bongsu yang kerap bertanyakan ibu. Saya akan memujuknya dengan menyatakan ibu di atas awan.

"Walaupun ibu sudah tiada, kenangan bersamanya segar di ingatan kami sehingga bila-bila," katanya.

Terdahulu empat beradik itu menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari di rumahnya di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Nazir berkata, adiknya ditidurkan selepas bacaan oksigen menurun mendadak.

Katanya, dia dan isteri akan mengambil tanggungjawab menjaga empat anak saudaranya itu dan menganggap mereka sebagai anak sendiri.

"Sejak suami adik meninggal tiga tahun lalu, saya kerap ulang alik ke rumahnya untuk menziarahi arwah dan anak-anak.

"Arwah pernah beritahu jika berlaku apa-apa ke atas dirinya, dia minta supaya saya menjaga anak-anaknya.

"Saya sudah berumah tangga dan memiliki seorang anak lelaki berusia setahun setengah, namun tiada masalah bagi saya untuk menunaikan amanah arwah adik," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada empat beradik berkenaan menerusi akaun CIMB 7043195345 milik bapa saudara Darwis Nordin atau hubunginya di 013-7086015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 6:10 PM