LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pemandu lori yang memandu dalam keadaan mengantuk hingga kenderaannya terbabas di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, dekat sini, semalam direman tiga hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan suspek direman bermula hari ini sehingga 26 September untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan semakan juga, suspek yang berumur 33 tahun itu mempunyai tujuh rekod lampau.

"Lima rekod lampau suspek membabitkan dadah termasuk memiliki dadah dan dua kes jenayah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, rekod jenayah suspek membabitkan kes pecah rumah dan membuat laporan palsu.

Terdahulu, media melaporkan suspek yang memandu dalam keadaan mengantuk, hilang kawalan lalu terbabas di lebuh raya berkenaan.

Video kemalangan yang berlaku selepas susur ke Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) itu tular di media sosial, dipercayai daripada rakaman salah seorang pengguna jalan raya ketika melalui jalan sama.

Ramsay berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, lori dipandu suspek hilang kawalan secara tiba-tiba kerana pemandunya dipercayai tertidur lalu terbabas.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif methamphetamine.

Berita berkaitan:

  • Pemandu positif dadah, rupanya... [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 5:17 PM