FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ahmad Hasbi


Seremban: Hanya 15 peratus daripada pemandu teksi di negeri ini yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, berdasarkan statistik sehingga September 2021, hanya terdapat 331 pemandu teksi yang aktif mendaftar di bawah SKSPS.

"Mengikut data yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 2018, terdapat 2,161 pemandu teksi di Negeri Sembilan, namun hanya 15 peratus daripada mereka yang dikesan mencarum di bawah SKSPS Perkeso.

"Jumlah ini amat sedikit, justeru saya menyeru pemandu teksi di negeri ini supaya mencarum di bawah skim berkenaan dengan kadar paling minimum RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun," katanya.

Terdahulu, Fuad menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 10 pemandu teksi menerusi Program Infaq Rezeki Sinergi Prihatin Jelajah Selatan 2021 di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Fuad berkata, ia inisiatif Perkeso dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyokong usaha kerajaan dalam Program Bakul Prihatin.

"Sebanyak 100 kotak Infaq Rezeki disumbangkan kepada pemandu teksi di sekitar Seremban dan untuk hari ini kami menyerahkan sumbangan 10 kotak sebagai simbolik program manakala 90 kotak lagi akan diserahkan kemudian.

"Serangan wabak Covid-19 yang melanda negara hampir dua tahun, jelas memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Tidak terkecuali kepada pemandu teksi yang kehilangan sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu, pemandu teksi, Nordin Jusoh, 71, berkata, dia bersyukur dan menghargai sumbangan berkenaan kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

"Ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban kami dan sumbangan makanan ini dapat juga menampung keperluan saya anak-beranak. Situasi pemandu teksi ketika ini amat tenat lebih-lebih dalam keadaan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 3:06 PM