Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 1,200 anak anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) serta anak kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang bertugas di kawasan 1 Divisyen Infantri dijangka lengkap menerima vaksin Covid-19, 14 Oktober ini.

Mereka yang berumur antara 12 hingga 17 tahun itu menerima dos pertama vaksin di empat lokasi di seluruh Sarawak hari ini manakala satu lokasi lagi esok.

Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas 1 Divisyen Infantri Kolonel Dr Meor Adzahary Sagiruddin berkata, empat lokasi pemberian vaksin hari ini ialah di Kem Penrissen, Kuching; Kem Oya, Sibu; Kem Pakit, Sri Aman dan Kem Similajau, Bintulu.

Beliau berkata, satu lagi pemberian vaksin Covid-19 akan diadakan di Kem Sri Miri, esok.

"Bagi Kem Penrissen dan Kem Oya, pemberian vaksin dilaksanakan secara pandu lalu manakala di Kem Pakit, Kem Similajau dan Kem Sri Miri dilaksanakan secara statik iaitu di Rumah Sakit Angkatan Tentera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemberian vaksin pandu lalu bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di padang kawad Rejimen 4Kor Armor Diraja, Kem Penrissen, di sini, hari ini.

Mengenai program di Kem Penrissen itu, Dr Meor Adzahary berkata, seramai 732 anak anggota tentera dan kakitangan awam menjalani proses imunisasi di situ.

Program imunisasi itu bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang dan mereka menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

"Proses itu dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja serta kakitangan perubatan awam Kementerian Pertahanan.

"Kami mampu melaksanakan proses imunisasi ini dalam tempoh sehari dan pemberian dos kedua akan dilaksanakan pada 14 Oktober nanti dengan kaedah sama iaitu pandu lalu di dua lokasi manakala tiga lagi lokasi akan dilaksanakan secara statik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 12:51 PM