PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja di PPV di Dewan Sri Tunjong JPN Isnin lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja di PPV di Dewan Sri Tunjong JPN Isnin lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pemberian vaksin Covid-19 dalam kalangan remaja di Kelantan mendapat sambutan apabila seramai 30,507 orang sudah menerima vaksin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, remaja yang divaksin itu termasuk yang berdaftar dengan pihak sekolah dan secara 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.

Katanya, golongan remaja ini positif untuk mendapatkan vaksin memandangkan mereka akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, ramai ibu bapa bersetuju anak mereka mendapatkan vaksin dan pada masa yang sama mahu melindungi golongan remaja ini daripada wabak Covid-19.

"Sambutan terhadap program pemberian vaksin secara 'walk-in' kepada remaja ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan remaja berusia di antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini adalah seramai 149,758 orang.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan remaja yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan mereka yang tidak bersekolah.

"Kita berharap ibu bapa atau penjaga menggalakkan anak-anak mereka untuk mengambil vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan menjaga keselamatan mereka.

"Untuk mendapatkan vaksin dengan segera, mereka juga boleh datang ke PPV terdekat untuk mendapatkan vaksinasi secara 'walk-in'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 10:35 AM