DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir untuk kes perbicaraan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir untuk kes perbicaraan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah dijanjikan imuniti daripada didakwa selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, imuniti daripada didakwa tidak akan diberikan sekiranya hasil siasatan mendapati kesalahan itu dilakukan oleh individu yang memberi keterangan.

Katanya, tertuduh tidak berhak untuk menuntut imuniti hanya kerana sudah memberikan maklumat kepada SPRM.

"Subseksyen 30 (7) Akta SPRM tidak menyediakan imuniti, sebaliknya, ia hanyalah pengecualian atas budi bicara pendakwaan kepada sesetengah individu yang membantu dalam siasatan.

"Peruntukan itu hanya terpakai kepada individu yang mendedahkan maklumat atau dokumen sulit dan boleh dikenakan tindakan jenayah atau sivil," katanya.

Raja Rozela berkata, objektif subseksyen itu secara keseluruhannya adalah untuk menggalakkan saksi memberi kerjasama dalam mendedahkan maklumat atau dokumen bagi membantu siasatan SPRM.

Katanya, sebagai contoh, seorang kakitangan kerajaan yang mempunyai maklumat dalam bentuk dokumen sulit mengenai perbuatan rasuah dan dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Oleh itu, sekiranya beliau tampil dan mendedahkan kandungan maklumat itu serta dikenakan tindakan mengikut OSA, maka, Subseksyen 30 (7) digunakan untuk melindungi seseorang individu dalam situasi sedemikian.

"Pengecualian mengikut Subseksyen 30(7) tidak akan diberikan kepada tertuduh," katanya.

Raja Rozela juga berhujah bahawa tuntutan tertuduh untuk imuniti tidak boleh didengar oleh Mahkamah Tinggi kerana ia adalah mahkamah perbicaraan jenayah dan tuntutan berkenaan tidak boleh digunakan sebagai pembelaan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:05 PM