Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara, di sini, teruja apabila menerima suntikan vaksin Covid-19 daripada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, hari ini.

Remaja itu Wan Muhamad Aiman Daniel Wan Ruzali, 16, antara 800 pelajar yang menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di negeri berkenaan.

Menurutnya, dia melihat kelibat seseorang sedang menyarung pakaian perlindungan diri (PPE) yang disangka petugas kesihatan sejurus namanya dipanggil.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan individu yang melakukan suntikan vaksin ke atas saya adalah Dr Kasemani.

"Cuma saya terkilan kerana tidak sempat meminta rakan merakamkan gambar untuk dijadikan kenangan," katanya ketika ditemui pada program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini.

WAN Aqif Nafis (tengah) menerima suntikan vaksin dari Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Kasemani (kanan)  menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Remaja) di SMK Sultan Sulaiman. FOTO Ghazali Kori
WAN Aqif Nafis (tengah) menerima suntikan vaksin dari Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Kasemani (kanan) menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Remaja) di SMK Sultan Sulaiman. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata, seramai 38,114 pelajar berusia 16 dan 17 tahun di Terengganu menerima suntikan vaksin Covid-19, di 56 pusat pemberian vaksin (PPV) sekolah di seluruh negeri bermula hari ini.

"Kita tidak menerima sebarang rungutan terutama bantahan daripada ibu bapa mengenai proses suntikan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:11 PM