SULAIMAN pada Sidang DUN Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN pada Sidang DUN Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
BERNAMA

Melaka: Melaka menyasarkan 100 peratus rakyat divaksin seawal mungkin sebelum melangkah ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pertengahan Oktober hadapan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, antara inisiatif dijalankan adalah membuka 98 pusat pemberian vaksin (PPV), menjalankan aktiviti pemberian vaksin secara 'outreach' oleh pasukan bergerak Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terpencil.

"Melaka juga membenarkan 'walk-in' (jumpa terus) kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bermula 19 Julai lalu dan penduduk berumur 50 tahun ke atas bermula pada 30 Ogos.

"Penduduk 18 tahun pula dimulakan pada 3 September di PPV Mega Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin secara berperingkat dengan keutamaan kepada penduduk warganegara Malaysia," katanya dalam usul ucapan terima kasih ke atas ucapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di sini, tadi.

Sementara itu, Sulaiman berkata, sebanyak 77 peratus atau 521,858 rakyat Melaka berusia 18 tahun ke atas lengkap dua dos suntikan vaksinasi Covid-19 setakat 18 September lalu.

Beliau berkata sehingga 1 September lalu, Melaka mencatat 5.7 kes Covid bagi setiap 100,000 penduduk, vaksinasi melebihi 50 peratus penduduk dewasa dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) pada tahap sederhana (melebihi 70 peratus kes) sekali gus bergerak ke Fasa Dua PPN pada 4 September.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 5:47 PM