KAMARUDIN pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama
KAMARUDIN pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia kini dalam proses akhir untuk menubuhkan Unit Hal Ehwal Palestin di Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Palestin.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pejabat itu akan melaksanakan aktiviti pengukuhan hubungan dua hala Malaysia dengan Palestin serta memudah cara bantuan kemanusiaan negara ini ke Palestin.

"Pejabat itu akan dibantu oleh Konsul Kehormat Malaysia pertama di Ramallah, Palestin yang telah dilantik manakala proses lantikan Konsul Kehormat Malaysia kedua di Gaza juga akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang meminta kerajaan menyatakan langkah proaktif bersama badan antarabangsa bagi mengukuhkan komitmen bersama untuk bantuan pembangunan semula Gaza, Palestin pasca perang 2021.

Sementara itu, Kamarudin berkata Malaysia sedang dan masih terus mengadakan hubungan dengan kerajaan Mesir supaya kemudahan untuk masuk ke Palestin khususnya ke Gaza bagi memberikan bantuan kemanusiaan dapat berjalan dengan lancar.

Beliau berkata kerajaan juga telah menyelaraskan kegiatan dan meluluskan tujuh NGO yang berhasrat untuk ke Gaza untuk memberi bantuan setakat ini.

"Apa yang akhirnya membolehkan mereka masuk ke Gaza ialah kerjasama urusan dan kelulusan oleh kerajaan negara jirannya iaitu kerajaan Mesir.

"Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Luar Negeri sebelum ini telah pun membuat lawatan ke Mesir dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau (Sameh Shoukry) di Mesir ketika itu," katanya.

Justeru, Kamarudin berharap dengan hubungan baik itu dapat menggalak dan melincinkan kemasukan NGO Malaysia secara lebih mudah yang terpaksa mempertimbangkan hal keselamatan.

Beliau berkata Malaysia juga giat bekerjasama dengan negara di rantau Timur Tengah yang terbabit dalam proses pembangunan semula Gaza termasuk Mesir, Jordan, Turki dan Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 1:48 PM