BRYAN memakai pakaian tradisional masyarakat Cina 'hanfu' ketika beratur untuk menerima suntikan vaksin di Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
BRYAN memakai pakaian tradisional masyarakat Cina 'hanfu' ketika beratur untuk menerima suntikan vaksin di Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


Batu Gajah: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh di sini, teruja untuk menerima suntikan vaksin dengan hadir memakai 'hanfu' yang juga pakaian tradisional masyarakat Tionghua sempena festival kuih bulan yang disambut hari ini.

Bryan Ng Chee Hong, 17, berkata, dia baru sahaja membeli pakaian tradisional itu dan memakainya buat julung kali ketika hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

"Saya sangat teruja untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Saya mengenakan hanfu kerana mahu memeriahkan budaya sambutan festival kuih bulan," katanya ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah di sini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia lega kerana akhirnya menerima suntikan vaksin kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bryan menjadi antara kumpulan pertama pelajar yang hadir menerima suntikan vaksin di Dewan Bandaran Kinta di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (Pick Remaja).

Nuradlina Batrisyia Mohd Jamil, 16, dari SMK Tarcisian Convent, Ipoh berkata, dia bangun jam 5 pagi untuk segera bersiap pergi ke pusat vaksin berkenaan.

"Mula-mula memang rasa gementar. Bagaimanapun, saya gembira kerana selepas ini, saya dapat ke sekolah semula.

"Belajar di sekolah bersama rakan serta guru juga lebih menyeronokkan," katanya.

Bagi Syazwani Mahiyuddin, 16, dari SMK St Bernadette's Convent, Batu Gajah, dia memang mahu disuntik sebagai usaha melindungi diri daripada Covid-19.

"Saya harap rakan lain turut datang ke mana-mana PPV untuk menerima suntikan ini kerana nia bukan saja untuk melindungi kita malah rakan di sekolah," katanya.

Sementara itu, bapa pelajar, Syed Nor Hisham Syed Abdul Rahman, 49, memuji inisiatif pelaksanaan Pick Remaja kerana ia dapat mewujudkan persekitaran lebih selamat kepada pelajar.

"Ia melegakan ibu bapa kerana selepas ini, pelajar boleh melakukan aktiviti di sekolah dengan lebih bebas seperti bersukan dan lain-lain," katanya.

Terdahulu, 1,500 pelajar tingkatan empat dan lima hadir ke PPV berkenaan sama ada menerusi janji temu aplikasi MySejahtera atau secara jumpa terus untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 1:36 PM