Pelajar, Muhammad Ihsan Syafiqin Idris, bersama Nadiah Hassan (tengah) dan Izzah Nadhirah Kamil Zairi bergambar bersama kad vaksinasi selepas menerima suntikan ketika pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Pelajar, Muhammad Ihsan Syafiqin Idris, bersama Nadiah Hassan (tengah) dan Izzah Nadhirah Kamil Zairi bergambar bersama kad vaksinasi selepas menerima suntikan ketika pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: "Mulanya memang rasa gemuruh namun selepas menerima suntikan vaksin, ia diganti dengan rasa kelegaan serta gembira," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1), Muhammad Ihsan Syafiqin Idris, 17, yang menjadi yang pelajar terawal menerima pelalian itu di pusat pentadbiran negara di sini, tadi.

Menurutnya, suntikan vaksin Covid-19 itu membolehkannya melakukan pelbagai aktiviti seperti pergi ke sekolah dan bersukan dengan penuh yakin.

"Saranan saya kepada golongan remaja ini, jangan takut untuk menerima vaksin," katanya selepas menerima vaksin Covid-19 di SMK Putrajaya Presint 8(1) di sini, menerusi Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sekolah berkenaan dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara sepanjang pelaksanaan tempoh PICK Remaja di Putrajaya membabitkan 3,539 pelajar tingkatan 4 dan 5 di wilayah berkenaan.

Sementara itu, ibu Muhammad Ihsan, Datin Mas'amah Ibrahim, 54, berkata, anaknya kini sudah boleh melakukan aktiviti harian tanpa rasa gusar.

"Sebelum ini saya risau kerana semua ahli keluarga saya sudah menerima suntikan vaksin, hanya dia (Muhammad Ihsan) belum mendapat vaksin. Namun pelaksanaan PICK ternyata memberi kelegaan kepada kami.

"Nak berjumpa kawan atau balik kampung pun sudah tidak perlu risau kerana kami semua sudah mendapatkan vaksin," katanya.

Seorang lagi pelajar, Husna Kader Ridzwan,17, berkata, suntikan vaksin itu membuatkan dia berasa lebih selamat untuk melakukan aktiviti harian.

"Sebelum ini saya cemburu melihat ahli keluarga lain sudah mendapatkan vaksin. Bila kerajaan umum mengenai pemberian vaksin kepada remaja, saya tidak sabar untuk mendapatkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 3:49 PM