KUALA LUMPUR 20 SEPTEMBER 2021. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (SMK DTHO), Aiman Hakim, 17 menerima dos suntikan vaksin pada Program Vaksinasi COVID-19 “Back To School” bagi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 20 SEPTEMBER 2021. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (SMK DTHO), Aiman Hakim, 17 menerima dos suntikan vaksin pada Program Vaksinasi COVID-19 “Back To School” bagi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia. NSTP/ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 5,887 pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di sekolah di dalam kem Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara dijangka diberikan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebagai permulaan, 255 pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini, manakala baki 675 lagi dijangka menerima suntikan mereka pada Khamis ini.

Vaksinasi bagi pelajar di empat lagi sekolah menengah di dalam kem ATM iaitu Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak dan SMK Kem Terendak di Melaka, SMK Pangkalan TLDM, Lumut (Perak) serta SMK Tanjung Pengelih (Johor) akan dilaksanakan secara berperingkat di pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.

"Pemberian vaksin kepada pelajar sekolah rendah (SK) pula melibatkan 330 orang pelajar di SK Kem Kementah dan SK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur juga dijangka dilakukan pada Khamis ini.

"Sementara itu, PICK Remaja untuk pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur akan dilaksanakan sebaik sahaja kesemua 504 pelajar kembali melaporkan diri pada 27 September ini," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin selepas meninjau Program Vaksinasi Back To School di SMK Desa Tun Hussein Onn di sini, hari ini.

PICK Remaja yang bermula secara serentak di seluruh negara hari ini menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun divaksin untuk memastikan rakyat terus dilindungi dari wabak Covid-19 dan membentuk imuniti kelompok yang lebih kukuh.

Ditanya mengenai pendekatan yang bakal diambil Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya terdapat ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka divaksin, Radzi berkata, kementerian belum membuat sebarang ketetapan buat masa ini, sebaliknya ia bergantung kepada perkembangan PICK Remaja.

"PICK Remaja baharu kick-off (bermula) hari ini dan sebelum kita buat ketetapan, kita lihat dahulu apakah penerimaan ibu bapa serta keadaan program ini… dalam satu tempoh kita akan perincikan keputusan terbaik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 3:10 PM